RAWATAN ALTERNATIF ISLAM DARUL IKHTIAR

"CUKUPLAH ALLAH BAGIKU, TIADA ILAH MELAINKAN DIA ,KEPADANYA TEMPAT AKU BERSERAH, DAN DIALAH AMPUNYA 'ARASY YANG BESAR"

IKHTIAR & BERTAWAKAL














Translate

Thursday, August 19, 2010

TUAN GURU MENJALANI PEMBEDAHAN JANTUNG



KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din akan menjalani pembedahan berkaitan jantung, 'off-pump surgery' di Hospital Stanford, California pada 30 Ogos akan datang.Beliau yang dijadual bertolak pada 28 Ogos mengharapkan agar para penyokong, ahli serta kenalan dapat mendoakan rawatan tersebut berjaya.

"Saya hanya mengharapkan doa daripada kawan-kawan dan semua yang mengenali serta mengiringi pemergian saya dengan doa agar saya dikurniakan kejayaan oleh Allah sebagai usaha untuk mengubati penyakit jantung ini," katanya kepada Harakah ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Menurutnya, dalam tempoh 23 tahun menderitai penyakit tersebut beliau telah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1987 di Hospital St.Vincent, Australia, serta 1998 dan 2000 di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Walau bagaimanapun, masalah pada jantungnya berulang kembali meskipun pihaknya telah menjalani semua rawatan yang dikenakan ke atasnya.
Di samping mengambil ubat yang telah diberikan, beliau turut menjalani proses rawatan telium scan, MRI scan dan CT scan.
"Tapi masalah ini tidak selesai malah bertambah serius dan baru-baru ini pihak IJN merujuk masalah jantung saya kepada Hospital Stanford di California," ujarnya lagi.
Jelasnya, seorang pakar jantung dari hospital pakar berkenaan yang kebetulan berada di Malaysia kerana menghadiri seminar berkesempatan memeriksa beliau baru-baru ini sebelum mengesyorkan agar mendapatkan rawatan lanjutan di sana.
Ditanya mengenai tempoh rawatan beliau menjangkakan berada selama tiga minggu dan menyambut Aidilfitri di sana.

Semoga Allah memudahkan urusan Tuan Guru di sana, serta kesihatan untuk terus memimpin & mencurahkan ilmu kepada kami Amin Ya Rabbal 'Alamin

KELEBIHAN KURMA



Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :
"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :

Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.
(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.
Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :
"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.(Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :
Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Sabda Rasulullah s.a.w "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya. "

WALLAHU'ALAM

Dipetik dari blog Mufti Brunei

Sunday, August 8, 2010

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN




Puji & Syukur hanya untuk Allah & Shalawat serta Salam ke hadrat Mustafa Rasululullah SAW .

Syukur kepadaNya kerana masih dipanjangkan usia yang dipinjamkan kepada kita untuk bertemu Ramadhan al Mubarak Insya Allah. Berapa ramai yang telah meninggalkan kita tanpa sempat menikmati Ramadhan kali ini.

Satu bulan untuk mencari kasih, rahmat, pengampunan dan keredaan Allah , dihadiahkan kepada umat yang paling special oleh Yang Maha Pencinta .

Marilah sama2 kita berdoa semoga Ramadhan al - mubarak kali ini yang terbaik . Semoga setiap bulan dalam hidup kita menjadi Ramadhan , setiap hari dalam hidup kita menjadi lailatul qadar.

Semoga kita sentiasa di dalam kasih sayangNya, rahmatNya , keredaanNya , naunganNya
Amin Ya Rabbal A'lamin


Sedikit informasi untuk ingatan & dikongsi bersama


Dalil

Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:

Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa


Kelebihan Berpuasa

Sesungguhnya telah termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah tentang kelebihan berpuasa secara umumnya, antaranya:

* Puasa mendekatkan diri dengan Allah:

Allah berfirman :
Maksudnya: “Lelaki-lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar” [Al-Ahzab: 35]

* Puasa mengawal syahawat:

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Wahai pemuda-pemuda! Barang sesiapa antara kamu berkemampuan, maka berkahwinlah, kerana pernikahan itu menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan, dan barang sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah perisai (memutuskan syahawat)” [HR Al-Bukhari: 5065, Muslim: 1400]

* Puasa menyelamatkan seseorang dari neraka:

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan dia (kerana puasanya) dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” [HR Al-Bukhari: 2840, Muslim: 1153]

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Puasa adalah perisai, di mana seorang hamba itu berperisai dengannya dari api neraka” [HR Ahmad: 15299, Lihat Shahih Attarghib: 970]

* Puasa menjanjikan syurga:

Dari Abi Umamah, beliau berkata:
Maksudnya : Wahai Rasulullah! Tunjukkan kepadaku, amalan yang boleh membawaku kepada syurga, Nabi SAW bersabda: “Ke atasmu puasa, tidak ada amalan yang sama dengannya” [HR Annasa'i: 2220, Lihat Shahih Sunan Annasa'i: 2097]



Kelebihan Bulan Ramadhan
Ramadhan adalah bulan yang mulia yang padanya ada kebaikan dan keberkatan. Allah dan Rasul SAW telah menjelaskan kelebihan bulan ini, antaranya:

* Bulan yang diturunkan padanya Al-Quran:

Allah berfirman :
Maksudnya: “Bulan ramadhan, bulan yang diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil), barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..” [Al-Baqarah: 185]

* Bulan yang padanya ada Lailatul Qadr:

Allah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada lailatul qadr. Dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul Qadr itu adalah lebih baik dari seribu bulan” [Al-Qadr: 1-3]

* Bulan yang padanya dibelenggu syaitan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka:

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” [HR Al-Bukhari: 3277, Muslim: 1079] Kelebihan Berpuasa di Bulan Ramadhan

* Puasa di bulan Ramadhan menjanjikan pengampunan dosa:

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” [HR Al-Bukhari : 38, Muslim : 175]

* Puasa di bulan Ramadhan menjanjikan syurga:

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan ramadhan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga” [HR Al-Bukhari : 2637]

Wallahu'alam